Anatomi dan kesihatan Kambing

Kambing dikira sebagai haiwan ternakan kecil berbanding dengan haiwan-haiwan besar seperti lembu, unta dan kuda, tetapi lebih besar daripada ternakan mikro seperti ayam itik, arnab, tikus belanda dan lebah. Setiap baka kambing yang diiktiraf rasmi mempunyai julat berat badan tertentu dari sebesar 300 paun (136 kg) untuk kambing jantan yang berbaka besar-besar seperti Boer, atau sekecil 45 ke 60 paun (20–27 kg) untuk kambing betina yang kecil-kecil.[7] Dalam setiap baka boleh terdapat variasi saiz yang berpunca daripada kelainan strain atau keturunan. Antara baka-baka terkecil adalah baka mini seperti Pigmi Afrika yang berdiri setinggi 16 ke 23 inci (41.5–58.5 cm) pada paras bahu dewasa.[8]

Anak mata sepet mendatar

Kebanyakan kambing semula jadi tumbuh dua batang tanduk yang pelbagai bentuk dan saiz mengikut bakanya. Kambing tumbuh tanduk melainkan ia "dogol" (polled), iaitu tidak dibolehkan pertumbuhan tanduk disebabkan genetik ataupun tanduk itu ditanggalkan, selalunya sebaik sahaja selepas lahir.[9] Terdapat kejadian kambing poliserat (tumbuh banyak tanduk, sebanyak-banyak lapan batang), namun ini merupakan kenadiran genetik yang difikirkan adalah turun-temurun. Pengguguran tanduk paling sering terjadi dalam kawanan kambing tenusu dagangan untuk mengurangkan kecederaan terhadap manusia dan kambing lain. Tidak seperti lembu, kambing tidak berjaya dibiak baka untuk dogol betul-betul kerana gen-gen yang menentukan jantina berkait rapat dengan yang menentukan tanduk. Cubaan membiak baka dua ekor kambing yang dogol secara menghasilkan sejumlah besar individu interseks yang rata-rata mandul dalam kalangan anak-anak kambing.[9] Tanduk kambing diperbuat daripada tulang hidup yang disalut oleh keratin dan lain-lain protein, digunakan untuk pertahanan, penguasaan, dan perwilayahan.[10]

Kambing merupakan haiwan ruminan yang memiliki perut empat kebuk yang terdiri daripada rumen, retikulum, omasum, dan abomasum. Seperti mamalia ruminan yang lain, kambing merupakan ungulat berjari genap. Kambing betina mempunyai ambing berputing dua, berbanding dengan lembu yang berputing empat.[11]

Anak mata kambing berbentuk sepet dan mendatar. Oleh kerana iris kambing biasanya berwarna pucat, maka anak matanya lebih menonjol berbanding anak mata haiwan lain seperti lembu, rusa, kebanyakan kuda dan biri-biri yang juga beranak mata sepet tetapi berpadu dengan iris dan sklera yang berwarna gelap.

Perbandingan ekor kambing dengan ekor biri-biri

Kedua-dua kambing jantan dan betina tumbuh janggut, malah kebanyakan jenis kambing (terutamanya kambing tenusu, Boer kacukan tenusu dan kambing pigmi) juga mempunyai sepasang gelambir yang berjuntai pada kedua-dua belah leher.[12]

Sesetengah baka kambing mirip biri-biri, tetapi senang dibezakan kerana ekor kambing biasanya kompot dan tercacak, sedangkan ekor biri-biri berjuntai dan biasanya lebih panjang dan besar.

Pembiakan

Seekor anak kambing berusia dua tahun di padang rumpai tanjung

Kambing mencapai baligh sekitar umur tiga ke 15 bulan, bergantung pada baka dan kesihatannya. Kebanyakan penternak lebih gemar menangguhkan pembiakbakaan hingga kambing betina mencapai 70% berat badan dewasa. Namun demikian, pemisahan ini jarang-jarang boleh dilakukan untuk kawanan ternak lepas yang diurus meluas.[13]

Dalam iklim-iklim sederhana, lebih-lebih lagi dalam baka-baka Swiss, musim pembiakan bermula apabila siang makin menyingkat, hinggalah menjelang musim bunga. Di kawasan khatulistiwa pula, kambing boleh membiak pada bila-bila masa sahaja tanpa menentu musim. Kejayaan pembiakan di kawasan-kawasan khatulistiwa lebih bergantung pada bekalan makanan yang tersedia daripada tempoh siang. Kambing betina tanpa mengira baka atau tempat naik berahi 21 hari sekali selama dua hingga 48 jam. Kambing betina yang berahi biasanya mengibas-ngibas ekor, mendekati kambing jantan jika ada, bersuara lebih lantang, dan mungkin juga menunjukkan kehilangan selera dan kurangnya susu sepanjang tempoh berahi.

Seekor ibu kambing dengan dua ekor anaknya.

Kambing jantan yang subur dari baka-baka Swiss dan utara masuk musim mengawan pada musim luruh seperti kitaran berahi kambing betina. Kambing jantan berbaka khatulistiwa pula mungkin menunjukkan kesuburan ikut musim, tetapi mampu mengawan pada bila-bila masa seperti kambing betina. Musim mengawan kambing bercirikan kehilangan selera serta minat yang ghairah terhadap kambing betina. Kambing jantan yang masuk mengawan akan menunjukkan bibir seringai bergulung serta membuang air kencing ke atas kaki depan dan mukanya. Kelenjar bau sebum di dasar tanduk menguatkan bau kambing jantan, iaitu penting untuk ia menjadi lebih menarik kepada kambing betina. Sesetengah kambing betina enggan berkawan dengan kambing jantan yang dinyah baunya.[14]

Selain pengawanan semula jadi, permanian beradas semakin diminati ramai oleh penternak kambing kerana ia memperluas pilihan darah keturunan dengan lebih mudah.

Tempoh kebuntingan kambing kira-kira 150 hari. Selalunya yang dilahirkan adalah anak kembar dua, tetapi anak tunggal dan anak kembar tiga tidak kurang juga berlaku. Jarang-jarang berlakunya kelahiran anak kembar empat, lima, ataupun enam. Kelahiran anak kambing biasanya berlaku secara senyap. Sebelum melahirkan, si ibu merendahkan badan sekitar bahagian ekor dan pinggul, sambil bernafas termengah-mengah. Ia mungkin beriak wajah rimas, menjadi resah dan mencurah penuh kasih sayang kepada pembelanya. Selepas melahirkan, si ibu biasanya makan uri untuk memperoleh zat-zat yang amat diperlukannya, membantu mehanan pendarahan, dan mengurangkan resapan bau kelahiran untuk pemangsa, serupa dengan kelakuan haiwan maun liar seperti rusa.[15][16]

Penghasilan susu bermula sewaktu kelahiran anak, berbeza-beza mengikut baka, umur, mutu dan pemakanan si ibu kambing; kambing tenusu umumnya menghasilkan antara 660 ke 1,800 l (1,500–4,000 paun) susu dalam setiap tempoh laktasi 305 hari. Secara purata, seekor kambing tenusu yang bermutu baik akan mengeluarkan sekurang-kurangnya 6 paun (2.7 liter) susu sehari selagi bersusu. Pengeluar susu kali pertama mungkin menghasilkan sebanyak 16 paun (7.3 liter) susu ke bawah, ataupun lebih banyak daripada itu dalam kes-kes yang luar biasa. Selepas laktasi, kambing betina "kekeringan" biasanya selepas membiak. Kadang-kadang kambing yang tidak membiak dan diperah susu tanpa henti akan kekal dalam laktasi melebihi 305 hari yang kebiasaan.[17] Baka-baka pedaging, serat, dan belaan biasanya tidak diperah susu dan sekadar menghasilkan susu yang cukup untuk anak hinggalah cerai susu.

Laktasi jantan juga diketahui berlaku dalam kalangan kambing.[18]

Pemakanan

Kambing dikenali sanggup makan apa-apa sahaja, termasuk tin dan kadbod. Walaupun sebenarnya tidak makan bahan-bahan yang tidak boleh dimakan, namun ianya haiwan perenggut, tidak seperti lembu dan biri-biri yang meragut, malah (dengan sifat yang amat suka ambil tahunya) boleh mengunyah dan merasai apa-apa sahaja yang sedikit pun menyerupai jirim tumbuhan untuk menentukan sama ada ia sedap dimakan, termasuklah kadbod, pakaian dan kertas (seperti label tin).[19]

Kambing bela jinak merenggut rumpai tanjung, iaitu rumpai yang beracun untuk kebanyakan haiwan ternakan

Selain mencuba-cuba pelbagai bahan, kambing agak teliti dengan apa yang sebenarnya dimakannya. Kambing lebih gemar merenggut hujung-hujung pokok berkayu dan juga adakalanya tumbuhan berdaun lebar. Apapun, boleh diperkatakan bahawa pemakanan tumbuhan kambing amatlah pelbagai, termasuklah sesetengah spesies yang beracun untuk haiwan lain.[20] Kambing jarang memakan makanan kotor atau meminum air tercemar melainkan kebuluran. Inilah salah satu sebab penternakan kambing paling selalu dilakukan secara ternak lepas kerana penternakan kambing secara ternak kurung melibatkan penyelenggaraan yang banyak dan jarang berdaya komersil.

Kambing lebih gemar merenggut pokok menjalar seperti kacang hijau hutan, pokok renek dan rumpai, daripada makan rumput, iaitu lebih bersifat seakan rusa berbanding biri-biri. Tumbuhan terung-terungan beracun; daun pokok buah yang layu juga boleh membunuh kambing. Silaj (batang jagung kering) dan hailaj (rumput kering tapai) boleh digunakan jika dimakan segera selepas pelepasan - kambing alah sekali kepada bakteria Listeria yang tumbuh dalam pakan tapai. Alfalfa yang kaya dengan protein sering diberikan makan dalam bentuk rumput kering; feskiu adalah rumput kering yang paling kurang sedap dimakan dan paling kurang berzat. Kulapuk dalam pakan kambing boleh menyebabkan kambing jatuh sakit ataupun maut. Kambing tidak harus diberi makan rumput yang bertanda-tanda kulapuk.

Fisiologi pencernaan anak kambing yang masih bayi (seperti anak haiwan ruminan lain) pokoknya sama seperti haiwan monogastrik (berperut satu). Pencernaan susu bermula di abomasum, yang mana susu telah melepasi rumen melalui penutupan alur retikulum-esofagus ketika bersusu. Ketika lahir, rumennya belum selesai tumbuh, tetapi apabila anak kambing mula makan makanan pejal, maka rumen itu segera semakin besar dan mampu untuk menyerap zat.

Saiz dewasa seseekor kambing adalah hasil daripada baka (potensi genetik) dan pemakanannya sewaktu tumbesaran (potensi nutrisi). Seperti semua ternakan, pertambahan pemakanan protein (10 ke 14%) serta jumlah kalori yang mencukupi ketika usia prabaligh mendatangkan kadar tumbesaran yang lebih tinggi dan saiz dewasa yang lebih besar daripada kadar protein rendah dan kalori terhad.[21] Kambing bertubuh besar dengan rangka yang lebih gedang mencapai berat badan matang pada umur yang lebih lewat reach (36 ke 42 bulan) daripada kambing bertubuh kecil (18 ke 24 bulan) jika kedua-duanya diberi makan secukup-cukup potensi. Kambing bertubuh besar memerlukan lebih banyak kalori daripada kambing bertubuh kecil untuk menjaga fungsi badan seharian.[22]

Kelakuan

Kambing mengamalkan hierarki kedominanan dalam kawanan, contohnya dengan tanduk-menanduk.

Kambing teramat sangat cerdas dan suka ambil tahu. Ia juga amat terkoordinasi dan dikenali ramai kerana kebolehannya untuk memanjat dan mengimbangkan badan di tempat-tempat yang berbahaya sekali. Oleh itu, kambing adalah satu-satunya ruminan yang mampu memanjat pokok, walaupun pokok itu seharusnya cukup condong untuk dicapai. Disebabkan ketangkasan dan sifat ingin tahu ini, kambing digeruni kerana bolos dari kandang dengan menaiki pagar dan kurungan secara sengaja mahupun semata-mata kerana senang dipanjat. Jika pagar kambing dihamparkan, dilanggar, ataupun diatasi dengan apa jua cara, maka kambing sudah hampir tentu akan melarikan diri. Disebabkan kecerdasan tingginya, sebaik saja menemui kelemahan kurungan, seseekor kambing akan memanfaatkannya berulang-ulang, dan kambing-kambing lain akan memerhatikan dan cepat mempelajari cara yang sama itu.

Dengan sifat cerdas dan suka ingin tahu tersebut, kambing menduga apa-apa sahaja yang baru atau asing dalam persekitarannya, terutamanya dengan menyentuh dengan bibir atas dan lidahnya yang mencengkam. Oleh sebab itulah kambing menduga benda-benda seperti butang, pakaian dan sebagainya dengan menggigit ataupun memakan.

Kambing yang diurus secara berkawanan kurang cenderung untuk berkumpul berbanding biri-biri, malah jika meragut tanpa diganggu, kawanan kambing cenderung berpecah-belah ke serata padang atau lapangan daripada makan sebelah-menyebelah seperti biri-biri. Kambing yang menyusu membiarkan anaknya berjalan bebas daripada berapat-rapat seperti biri-biri. Kambing biasanya berpaling dan menghadap penceroboh, dan kambing jantan lebih berkemungkinan untuk menyerang atau menanduk manusia berbanding biri-biri jantan.[23]

Kambing sukar dikekang ketika dikandangkan.

Penyakit

Biarpun dianggap sebagai haiwan yang tahan lasak dan kurang memerlukan jagaan kesihatan dalam kebanyakan situasi, namun kambing tetap terdedah kepada penyakit. Kambing sering menghidap keadaan-keadaan seperti pneumonia, kaki reput, parasit dalaman, keracunan bunting dan keracunan makanan.

Kambing boleh dijangkiti pelbagai penyakit virus mahupun bakteria seperti penyakit kaki dan mulut, ensefalitis artritis kambing, limfadenitis kaseus, mata kalas, mastitis, dan pseudorabies. Kambing boleh menyebarkan beberapa penyakit zoonotik kepada manusia seperti tuberkulosis, bruselosis, demam Q, dan rabies.[24]

Jangka hayat

Jangka hayat kambing adalah antara 15 ke 18 tahun.[25] Pernah dilaporkannya satu contoh kambing yang mencapai umur 24 tahun.[26]

Jangka hayat ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, contohnya jangka hayat kambing betina mungkin disingkatkan kepada 10 ke 11 tahun oleh masalah ketika beranak, dan jangka hayat kambing jantan boleh dipotong hingga lapan ke 10 tahun dengan naik berahi.[26]

Rujukan

WikiPedia: Kambing ftp://ftp.fao.org/docrep/fao/009/a0540t/a0540t06.p... http://www.environment.gov.au/system/files/resourc... http://archaeology.about.com/od/domestications/qt/... http://www.americangoatsociety.com/education/polle... http://www.dairygoatjournal.com/issues/84/84-6/Tim... http://fiascofarm.com/goats/age.htm http://web.foodnetwork.com/food/web/encyclopedia/t... http://books.google.com/?id=dUgEAAAAMBAJ&lpg=PA57&... http://books.google.com/?id=nWCLpQFrdnMC&pg=PA519&... http://books.google.com/?id=ni6Hbqm04vIC&pg=PA244&...